Archive

Posts Tagged ‘Isu Kepala Lembu Berdarah’

Isu Kepala lembu berdarah dan bantahan pemindahan kuil di Shah Alam : Pendirian PPIUNITEN

September 3rd, 2009

Tanggal 31 Ogos merupakan ulangtahun hari kemerdekaan Malaysia. Namun begitu, sambutan menyambut tarikh kemerdekaan pada tahun ini agak terjejas ekoran berlakunya peristiwa ‘demonstrasi kepala lembu berdarah’ oleh penduduk seksyen 23, Shah Alam, Selangor. Peristiwa tersebut berlaku pada 28 Ogos, 3 hari sebelum sambutan hari merdeka. Hasilnya, satu perarakan ‘Kepala lembu berdarah’ dari masjid negeri ke pejabat SUK negeri, berlaku selepas solat jumaat. Menurut sumber-sumber yang dipercayai, demostrasi tersebut berpunca daripada bantahan penduduk seksyen 23 yang tidak bersetuju dengan pemindahan kuil dari seksyen 19 ke 23. Sebab utama bantahan penduduk di kawasan tersebut ialah majoriti penduduk seksyen 23 adalah Melayu.

Persatuan Pengajian Islam Uniten (PPIUNITEN) melihat serius perkara ini kerana ianya melibatkan sensitiviti banyak pihak. Hakikat utama yang mesti disedari oleh semua warga Malaysia amnya, penduduk Shah Alam khususnya ialah mengenai kepelbagaian kaum di Malaysia. Kepelbagaian ini membawa maksud kemajmukan budaya dan cara hidup rakyat Malaysia. Tindakan membawa ‘Kepala Lembu Berdarah’ adalah tindakan yang boleh memarakkan bara api dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk jangka masa panjang. Tambahan pula terdapat usaha daripada pihak tertentu yang bertindak ‘mencurah minyak tanah ke api’ dengan menyebarkan surat layang berunsur perkauman (Melayu) ekstream bertebaran di atas jalan serta di Surau Seksyen 23.

Sejumlah besar Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan menbuat tinjau di sekitar kawasan tersebut telah menjelaskan bahawa beberapa Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) datang memadamkan contengan-contengan yang berbaur perkauman sempit itu dengan cat ringkas beberapa hari lepas. Tindakan yang tidak popular ini mesti dicegah dari sekarang dan berharap tidak akan berulang lagi pada masa hadapan kerana ia bercanggah dengan aspirasi Perdana Menteri Malaysia sendiri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak iaitu 1MALAYSIA!

Oleh itu kunci utama untuk hidup dalam situasi ini ialah sikap saling memahami antara satu sama lain. Cara duduk semeja adalah cara yang terbaik bagi meleraikan permasalah yang berlaku ini. Maka, Persatuan Pengajian Islam UNITEN mencadangkan agar sesi perbincangan antara kerajaan negeri dan penduduk tempatan perlu diadakan secara lebih kerap. Hal ini supaya komunikasi dua hala menjadi lebih berkesan, lalu segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik. Tidak kira sama ada isu berbangkit timbul dari pihak penduduk mahupun kerajaan negeri. Menurut sumber kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menjemput seluruh penduduk tempatan dan wartawan sendiri menyertai dialog harmoni bersamanya pada Sabtu, 5 September di Dewan Banquet MBSA.

PPIUNITEN mengharapkan agar kerajaan negeri lebih mengambil berat mengenai segala suara dari rakyat negeri memandangkan kerajaan Negeri telah mendapat mandat baru dari rakyat negeri Selangor sejak pilihan raya umum lalu. Sewajarnya pihak kerajaan negeri menjalankan tugas sebagai pemegang amanah pengurus tadbir negeri yang telah diberikan.

Akhir kata, PPIUNITEN berharap supaya menjadi kewajaran bagi semua pihak yang terlibat supaya duduk berbincang serta mengkaji situasi yang telah, sedang dan akan berlaku sebelum bertindak dengan lebih lanjut lagi. Segala tindakan yang kurang tepat akan merencatkan keharmonian masyarakat tempatan dan Malaysia yang telah wujud sejak sekian lama.


WAN BAIHAQI BIN WAN AB RAHMAN

Presiden

Persatuan Pengajian Islam 2009/10

Universiti Tenaga Nasional.

Isu-isu Semasa