Home > Video > Motivasi Perubahan Menjelang Muharram

Motivasi Perubahan Menjelang Muharram

November 13th, 2012

(gambar hiasan)

Di awal muharram ini, ramai yang mula meletakkan target-target, resolusi-resolusi  yang bermacam-macam untuk mentransformasikan diri menjadi hamba Allah yang  lebih soleh, lebih baik. Ada yang nak mula menutup aurat. Ada yang nak konsisten solat berjemaah.

Yang sedihnya, sepetimana tahun-tahun yang lepas, resolusi-sesolusi ini hanya dapat bertahan setempoh hangatnya tahi ayam sahaja. Satu polemik yang berulang-ulang  tahun demi tahun dimana resolusi lama membasi, diperbaharui di awal tahun dan dibiarkan basi semula.

Hendak bergantung kepada semangat. Semangat naik turun. Ketika bersemangat memang dirasakan seperti ianya mudah untuk dicapai. Namun ketika mana semangat itu hilang maka target itu dilihat mustahil untuk dicapai. Masalahnya tidak lain tidak bukan adalah kerana tidak ada ‘drive force’ yang mampu membawa semangat resolusi ini sehingga ke penghujung jalan.

Satu kaedah terbaik untuk memastikan target-target dan harapan-harapan ini agar terus kekal adalah dengan melalui usrah. Bila bersendirian motivasinya kurang. Dengan adanya kumpulan maka stimulasinya lebih kuat. Oleh itu usrah datang dengan membawa suatu platform di mana kita dapat berkumpul bersama sahabat-sahabat, memproses dan menyalurkan semangat resolusi dan mendidik diri agar menjadi lebih baik dalam bentuk yang kolektif dan dengan cara yang dikehendaki Islam.

Perkataan usrah berasal dari kalimah Arab, (الأسرة ) yang bermaksud keluarga. Manakala menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, keluarga bermaksud kaum, saudara mara, kaum kerabat, sanak saudara atau pun ia disebut sebagai Famili. Di dalam kamus al-Munjid Fi al- lughatu Wa al-A’lam adalah mufrad kepada (أسر ) iaitu satu kumpulan yang mempunyai hubungan yang kukuh.

Manakala dari segi istilahnya pula, usrah  bermaksud kumpulan atau individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong- menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam berdasarkan kepada perintah Allah di dalam surah al-Maaidah ayat 2 yang bermaksud :

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam membuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaan-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)”

Rasulullah s.a.w sendiri pernah menjalankan kaedah usrah ini. Usrah yang pertama baginda ialah di rumah al-Arqam bin Abi-Arqam. Di situlah Al-Quran diajar dan difahamkan. Di situ jugalah akhlak dan sahsiah dibina dan dimantapkan ke dalam para sahabat baginda yang benar-benar mencari perubahan.

Efeknya subhanallah, masyarakat jahiliyah yang terkenal dengan rompakan, yang mahsyur dengan pembunuhan dan perkara-perkara mazmumah yang bermacam-macam mampu berubah 360° darjah. Dari sebuah perkampungan kering-kontang dengan sistem masyarakat yang rosak dengan adanya proses tarbiyah manusia-manusia jahil berubah menjadi insan-insan hebat yang akhirnya membawa kepada pengaruh yang menguasai 2/3 dunia mengalahkan kerajaan-kerajaan hebat seperti Rom dan Parsi. Kehidupan penuh beradab dan kaya dengan ilmu.

Semuanya bermula dari pembentukan usrah yang pertama. Sekiranya sejarah sudah membuktikan bagaimana usrah ini telah berjaya mencetak manusia-manusia yang istiqamah menperbaiki diri dan memperbaikkan orang lain maka mereka yang berada di dalam sistem tarbiyah ini insyaallah akan mengikuti jalan yang sama. Cukuplah dengan terbuktinya usrah sebagai langkah pertama mekanisme perubahan. Mudah-mudahan resolusi-resolusi awal muharram tahun ini mampu berkekalan sehingga ke pangkal jalan.

Salam Maal Hijrah ^_^

Comments

comments

Video